LAHAD DATU: Tiga peserta 'river trekking' ditemukan maut di bawah kayu balak manakala tiga lagi masih hilang dalam tragedi kepala air di Sungai Lembah Maksina, Kampung Makuao, Tungku di sini pada malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejak malam tadi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 malam.

"Difahamkan terdapat 17 peserta yang melakukan aktiviti menelusuri sungai di kawasan itu yang mana dua daripadanya tidak terkena kepala air kerana tiba lebih awal dari mangsa lain.

"Sembilan peserta kemudian diselamatkan pada jam 12 tengah malam dan operasi memasuki hari kedua diteruskan bagi mencari enam lagi yang masih hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, operasi hari kedua dimulakan pada jam 6.20 pagi dengan tiga mangsa telah ditemukan setakat ini.


"Tiga mangsa telah ditemui tertimbus di bawah kayu balak dan operasi mengeluarkan jasad mangsa sedang giat dijalankan.

"Tiga lagi mangsa belum ditemui dan SAR mencari mangsa sedang dilakukan," katanya.

Tambah Sumsoa lagi, maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa. - Sinar Harian